Dari purdah ke bikini
Rima berjaya meraih gelaran itu dan serata dunia bergema dengan kata-kata Arab woman crowned Miss USA, impaknya mungkin berbeza.
SETELAH lama terperosok di dalam kepompong, sebahagian wanita Arab kini semakin menebarkan warna sang reramanya.
Lari daripada stereotaip yang sering digambarkan pada diri mereka seperti berjubah, berkelubung dan 'lebih gemar bersembunyi', mereka kini semakin berani menghapuskan wajah klise itu.
Kejayaan bersejarah wanita Arab berketurunan Lebanon, Rima Fakih yang dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Amerika Syarikat (AS) minggu ini bagai cuba menyampaikan mesej bahawa wanita Arab kini semakin bebas, berfikiran terbuka dan seksi.
Memang benar penglibatan wanita Arab dalam pertandingan ratu cantik bukanlah perkara baru. Imej sensual penyanyi wanita Arab juga sudah lazim dilihat di kaca televisyen.
WANITA Arab selama ini sering dikaitkan dengan imej bertudung dan berpurdah. - Gambar hiasan
Namun, ia belum cukup kuat untuk meruntuhkan pandangan tradisional terhadap wanita Arab secara umumnya.
Cuma apabila Rima berjaya meraih gelaran itu dan serata dunia bergema dengan kata-kata 'Arab woman crowned Miss USA', impaknya mungkin berbeza.
Dalam pertandingan yang diadakan di Las Vegas itu, Rima, 24, yang merupakan seorang Arab beragama Islam bangga memperagakan tubuhnya di depan khalayak termasuk dengan hanya memakai bikini.
Mewakili Michigan, negeri dia bermastautin, Rima berjaya menewaskan 50 wanita Amerika yang lain.
Rima merupakan anak kelahiran Srifa, Lebanon yang berhijrah ke AS bersama ahli keluarganya pada tahun 1993.
KAKAK Rima, Rana (tengah) dan dua anaknya di Lebanon bangga dengan kejayaan Rima meraih gelaran Miss USA.
Diversiti
Menurut akhbar Detroit Free Press, hasil percampuran dengan budaya Amerika, keluarga Rima merupakan simbolik kepada diversiti sebuah keluarga Arab.
Dalam kalangan ahli keluarga Rima, ada yang memakai tudung, sekadar berselendang atau tidak mengenakan sebarang penutup kepala. Keluarganya tidak pernah menghalang Rima daripada menyertai pertandingan ratu cantik itu.
Abangnya, Rabih Fakih, 37, berkata: "Ini menunjukkan sisi baik Arab-Amerika. Ramai orang fikir Arab ialah satu dunia yang semuanya perlu ditutup."
Bakal mewakili AS di pertandingan Ratu Cantik Universe, Rima bukan satu-satunya orang Arab yang menyertai pertandingan seperti itu. Ratu Cantik Perancis tahun ini, Malika Menard, 22, merupakan wanita kelahiran Syria.
Jika Rima dan Malika memilih untuk menonjol di lapangan ratu cantik, lain pula dengan Farah Malhass, 26, yang nekad mahu menjadi wanita Arab pertama menyertai kejohanan bina badan di peringkat dunia.
Farah yang merupakan wanita Arab Jordan dikritik hebat oleh rakyat negaranya namun dia tidak ambil peduli.
Farah turut mencetuskan kontroversi kerana keberaniannya mendedahkan ukiran tatu pada sebahagian besar tubuhnya.
Antara tatu yang terserlah pada tubuh Farah ialah lukisan pari-pari tanpa pakaian pada pahanya, pari-pari bersayap di belakang tubuh dan dua potong ayat di lengan kiri dan kanannya.
Bukit Bintang
Jurnal berkesempatan meninjau ragam wanita Arab di kawasan tumpuan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tidak dinafikan, selain melihat kelibat wanita Arab yang masih bernuansa Asia Barat, ada juga yang lagaknya sudah kelihatan seperti wanita dari Barat. Mereka berpakaian menjolok mata dan mendedahkan rambut aneka gaya.
Seorang wanita Arab Saudi yang hanya mahu dikenali sebagai Aisya sedang menghisap rokok saat disapa Jurnal.
Dia yang memakai baju paras dada tanpa lengan dan seluar ketat berwarna hijau pantas menjegilkan mata dan menggelengkan kepala apabila ditanya adakah dia boleh berpakaian begitu di negaranya?
"Tidak," katanya yang tidak tahu berbahasa Inggeris. Keberatan untuk ditemu bual, dia memberi alasan teman lelakinya akan tiba sebentar lagi.
Apa yang cuba ditonjolkan Aisya yang datang ke negara ini sebagai pelajar bagai menunjukkan segelintir wanita Arab teringin untuk menanggalkan tudung dan abaya (jubah) serba hitam mereka sedangkan mereka dilarang melakukannya di tanah air sendiri.
Seorang wanita Kuwait, Muna, menganggap wanita Arab kini sudah menikmati lebih banyak kebebasan.
Dia yang tidak mengenakan tudung kepala dan memakai seluar paras lutut sedang menikmati sisha bersama suaminya di sebuah restoran sajian Mesir di Bukit Bintang.
"Sekarang tidak ada siapa kisah sama ada anda memakai tudung atau tidak. Anda lihatlah saya, saya tidak bertudung. Ibu saya di Kuwait juga dulu bertudung tapi kini tidak lagi.
"Ia amat berbeza berbanding 10 tahun sebelum ini apabila semua wanita perlu menutup seluruh tubuh dari kepala hingga kaki," kata Muna, 30, yang datang ke negara ini untuk bercuti.
AFP melaporkan baru-baru ini bahawa 15 negara Arab telah mengalami peningkatan dari segi hak wanita terutama di Kuwait, Algeria dan Jordan dalam tempoh lima tahun lalu.
Negara Arab yang mencatatkan tahap kebebasan tertinggi ialah Tunisia, Maghribi, Algeria dan Lebanon. Sementara itu, Arab Saudi, Yemen dan Palestin mencatatkan perubahan yang rendah.
Sungguhpun begitu, arus penentangan terhadap 'undang-undang wanita' kini sudah dirasakan di Arab Saudi.
Dalam berpakaian abaya dan bertudung, wanita muda secara perlahan-lahan memakai solekan yang tebal dan menampakkan sebahagian rambut mereka.
Bahkan, seorang gadis Arab Saudi baru-baru dilaporkan Daily Mail telah membelasah seorang penguat kuasa agama yang melarang dia berjalan dengan seorang teman lelakinya.
Penguat kuasa itu dipukul berulang kali di kepala dan mengalami kecederaan teruk sehingga dirawat di hospital.
MAHA mewakili gadis moden Arab namun masih berusaha mengekalkan elemen tradisi dan agamanya.
Realiti
Maha Mohammad Al-Darwish, 26, melihat situasi tersebut sebagai realiti yang berlaku di tanah airnya.
"Anak muda kini sangat berani. Dan kadang-kadang pihak berkuasa pun tidak mampu mengawal lagi.
"Ada antara mereka berpeluang pergi ke luar negara dan melihat gaya hidup orang lain lalu mengalami kejutan budaya," ujar gadis Arab Saudi yang ditemui di Kuala Lumpur ini.
Pelajar sebuah universiti di ibu negara ini memberitahu, masyarakat antarabangsa melabelkan Arab Saudi sebagai 'negara lelaki' kerana perempuan tidak dibenarkan melakukan banyak perkara termasuk memandu kereta.
Maha mengakui wanita Arab kian moden seiring dengan perubahan zaman. Namun, Maha mahu membetulkan tanggapan sesetengah pihak terhadap orang Arab.
BEBERAPA wanita dipercayai dari Asia Barat tidak bertudung atau berjubah di Kuala Lumpur.
"Apabila bercakap tentang Arab, orang fikir mereka semua Islam dan alim. Tidak. Orang Arab juga ada orang baik dan sebaliknya, sama seperti bangsa lain.
"Saya kategorikan wanita Arab kepada tiga kategori. Pertama, golongan yang ekstrem dalam beragama, kedua golongan yang ekstrem seksi yang sanggup berbikini di tepi pantai dan lagaknya sudah seperti wanita Latin.
"Ketiga ialah golongan seperti saya yang moden namun punya batasannya.
"Saya melihat majoriti wanita Arab berada di kategori ketiga. Kami hanya mahu mengecapi hidup moden seperti orang lain.
SEORANG wanita Arab yang berpakaian agak seksi berjalan di sebatang jalan tumpuan pelancong Arab di Bukit Bintang baru-baru ini.
"Kami mahu membeli-belah barangan berjenama, kami mahu bekerja, kami mahu menguasai ilmu dan kami mahu berkenalan dengan orang lain untuk meluaskan minda.
"Tapi dalam masa yang sama kami masih cuba mengekalkan nilai agama dan tradisi kami," kata wanita berkelulusan rekaan grafik dan multimedia yang bertudung putih dan berblaus kelabu itu.
"Sama ada anda masih bertudung atau tidak, jangan berubah keterlaluan. Ia memberi imej yang buruk dan anda tahu ia tidak betul," hujahnya bernas.
0 comments:
Post a Comment