Mat Rempit Berlagak Patriotik
Tanggal 31 Ogos termaktub di dalam sejarah Malaysia sebagai hari kemerdekaan. Menariknya, sambutan kemerdekaan kali ke 52 ini akan diraikan di dalam bulan Ramadhan. Justeru, sambutannya mungkin sederhana berbanding pembaziran kemeriahan yang dirasakan sebelum ini. Buat yang tidak peka tahu, tema kemerdekaan tahun ini ialah “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Sebentar tadi, penulis sempat bersiar-siar sambil melihat panorama makhluk tuhan yang menunggu detik-detik pengiraan 12 malam di Taman Bandar Awam, Chukai. Sanggup benar mereka bersusah-payah mengelek anak kecil di bawah embun malam semata-mata untuk melihat percikan bunga api. Penulis tidak pasti sama ada acara membakar hingga rentung bunga api itu ada kerana penulis tidak menunggu lama di situ.
Di pertengahan jalan, penulis menemui banyak kumpulan mat rempit yang sedang menunggu giliran untuk membuat aksi wheelie dan wikang lagak ngeri di tengah jalan. Paling teruk, mereka membawa bersama Jalur Gemilang yang menjadi lambang kebanggaan Malaysia sebagai bahan untuk bersenda di jalanan. Mat rempit berlagak patriotik walhal hati berjiwa plastik. Natijahnya, bertaburanlah bendera itu setelah acara merdeka tamat.
Itu belum lagi dihitung dengan pasangan sejoli yang memadu kasih sehingga terbabas ke lorong hitam hubungan terlarang. Maka, bertebaranlah kondom di merata tempat hatta di kawasan yang tidak terduga dek akal. Jika nasib malang, sembilan bulan mendatang memboyotlah perut si gadis yang kononnya menjadi mangsa keadaan.
Tin dan botol arak bersepah di jalanan setelah berseronok menikmati sorakan kemerdekaan. Bila mengisi sebarang borang, reti pula menulis beragama Islam tetapi benda haram semua baham. Inikah anak bangsa yang diperjuangkan oleh nenek moyang kita dahulu?? Mereka mengorbankan nyawa demi menjamin keselamatan cucu cicit tetapi remaja sekarang asyik memilih jalan kelam.
Wahai makhluk tuhan, berhentilah berkiblatkan barat. Sampai bila hendak membiarkan hati berkarat?? Merdekakan dirimu dari anasir jahat. InsyaAllah, hidup akan lebih nikmat. Tuhan pun memberi berkat.
0 comments:
Post a Comment